Berita Utama

PRN Melaka: KKM bentang syor jawatankuasa pandemik esok

Pilihan raya bukan saja libat faktor kesihatan malah perundangan dan perlembagaan

KUALA LUMPUR, 30 Safar 1443H, Khamis – Syor Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Melaka akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pilihan raya negeri itu bukan sahaja melibatkan faktor kesihatan, malah ia menyentuh isu perundangan dan perlembagaan.

“Kita (Kementerian Kesihatan) akan bincangkan sekali lagi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok. Ini melibatkan faktor kesihatan, juga perundangan dan perlembangaan, kita akan ambil maklum apa sahaja keputusan daripada Jemaah Menteri nanti.

KKM akan sediakan apa sahaja prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan sekiranya ia (pilihan raya negeri) diteruskan,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat ahlinya iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) serta Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) – mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada Isnin lepas daripada Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, setelah kerajaan negeri dipimpin UMNO hilang majoriti dalam DUN.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

Sementara itu, Khairy berkata KKM akan memohon kepada Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan beberapa projek melibatkan HKL dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ini termasuk projek menaik taraf bangunan Hospital Bersalin HKL yang lama kepada pusat obstetrik rawatan ambulatori dan menaik taraf Institut Pediatrik HKL ekoran permintaan yang meningkat untuk perubatan ibu dan kanak-kanak.

KKM juga akan memohon untuk menaik taraf atau membina bangunan baharu hematologi dan patologi yang juga akan dijadikan bangunan simpanan rekod perkhidmatan sokongan yang baharu menggantikan Wisma Rekod HKL.

“Ini antara projek-projek yang akan atau telah dicadangkan kepada Unit Perancang Ekonomi dan kita harap dapat diluluskan dalam RMK12 supaya HKL kekal sebagai pusat rujukan nasional bertaraf dunia,” katanya.

Menurut Khairy projek pembangunan komprehensif tersebut penting untuk memastikan peranan HKL kekal sebagai aset utama dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan di Lembah Klang selain terus menghasilkan penyelidikan klinikal bertaraf dunia.

Khairy terdahulu diberi taklimat oleh Pengarah HKL Dr Rohana Johan dalam lawatan rasminya ke hospital itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button