Berita Utama

Netizen Cina hina Melayu, PEMBELA buat 3 laporan polis

Mahu penceroboh, pengkhianat isu ‘kebun durian’ di Raub didakwa

Oleh Athirah Huda Zalhe

KUALA LUMPUR, 17 Muharram 1442H, Sabtu – Tiga laporan polis dibuat oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) terhadap beberapa pemilik akaun Facebook berbangsa Cina kerana mengeluarkan komen menghina bangsa Melayu.

Laporan polis itu dibuat oleh Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dekat sini. 

Masridzi berkata, satu laporan dibuat ke atas beberapa individu yang mengeluarkan komen jelik dan serangan peribadi, selain didakwa mengancam keselamatan dirinya serta keluarga.

“Sementara dua lagi laporan dibuat adalah kerana menghina pertubuhan PEMBELA dan bangsa Melayu,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Semalam, Ismaweb.net melaporkan sikap melampau netizen Cina kerana mengeluarkan komen menghina Melayu dan sengaja mencetuskan perbalahan antara kaum.

Komen berkenaan dimuat naik menerusi laman Facebook sebuah portal liberal versi Cina, yang menyiarkan petikan sidang media PEMBELA pada Rabu lalu.

Dalam petikan itu, Masridzi menyatakan kebimbangannya terhadap nasib generasi Melayu akan datang, sekiranya tanah milik kerajaan sewenang-wenangnya diberikan kepada kaum lain.

Kenyataan Masridzi itu susulan daripada sidang media PEMBELA mengenai isu pencerobohan tanah kerajaan negeri oleh pengusaha kebun durian di Raub – yang diusahakan secara haram.

Kebimbangan Masridzi itu bagaimanapun diperlekehkan oleh segelintir netizen Cina, bukan hanya menghentam PEMBELA bahkan menghina orang Melayu.

Mengulas perkara itu, Masridzi menggesa pihak polis supaya menyiasat individu berkenaan, termasuk mendesak penceroboh tanah kerajaan dan pihak yang terlibat menyokong mereka dibawa ke pengadilan.

“Kebimbangan saya berasas, kerana saya tak nak anak cucu kita nanti celik-celik mata dikelilingi tanah yang dimiliki orang lain, yang bukan peribumi kita.

“Pada masa sama, kita nak juga penceroboh didakwa dan pengkhianat juga diseret juga. Tanpa ada pengkhianat dalaman, penceroboh takkan berani,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button