SUHAKAM iktiraf golongan songsang non-binari?
Istilah itu dimasukkan sebaris jantina lain dalam laporan separuh penggal

BANGI, 30 Safar 1443H, Khamis – Tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memasukkan istilah non-binari sebaris dengan jantina lain dalam Laporan Separuh Penggal Semakan Berkala Sejagat pusingan ketiga di Malaysia mencetuskan persoalan.
Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, ia seolah-olah suruhanjaya itu sudah pun mengiktiraf jantina ketiga yang menjadi pertikaian banyak pihak sebelum ini.
“Buat pertama kali, SUHAKAM memasukkan istilah non-binari sebagai tambahan kepada LGBTQ. Ini dilakukan ketika dunia sains, hatta di negara-negara Barat sedang memperdebat dengan hangatnya akan gender ketiga (non-binari dan transgender).
“Ini secara tidak langsung memperkukuhkan naratif pengiktirafan gender ketiga oleh SUHAKAM yang pada mulanya dicetuskan oleh tawaran kajian mereka,” kata Dr Rafidah menerusi hantaran di Facebook.
Bukan itu sahaja, SUHAKAM di dalam laporan tersebut turut mengesyorkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar nama secara separa bagi mereka yang telah menjalani pembedahan pertukaran jantina.
Prof Rafidah berkata, syor ini membuka ruang untuk membenarkan pembedahan pertukaran jantina di negara ini.
“Jika ini dilakukan, pada saya kita telah secara langsung mengiktiraf pembedahan pertukaran jantina itu sendiri (sila ambil maklum, perkara ini adalah di bawah bab LGBTQ, bukan atas sebab kesihatan dalam interseks atau khunsa atau Gangguan Perkembangan Seks (DSD) yang diizinkan),” katanya.
Beliau menegaskan, sewajarnya ada pihak dalam kalangan Pesuruhjaya SUHAKAM yang memantau dan menasihati perkara-perkara tidak diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah.
Di dalam laporan tersebut, SUHAKAM dipetik berkata bahawa ia mencadangkan kepada kerajaan untuk memiliki pendekatan inklusif terhadap hak untuk kesihatan yang merangkumi penjagaan kesihatan yang dapat diakses dan berpatutan kepada semua orang di Malaysia termasuk masyarakat yang rentan dan pelbagai seperti lelaki, wanita, non-binari, LGBTQ+ dan pekerja migran.
SUHAKAM juga mendesak Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa agama untuk berkomitmen dalam menjaga persekitaran pendidikan di mana martabat kanak-kanak dihormati dan diskriminasi atas dasar orientasi seksual dan identiti jantina dihapuskan.
Selain itu, SUHAKAM turut menyentuh mengenai pengubahan jantina dalam kad pengenalan.
SUHAKAM berkata, JPN menyatakan bahawa disebabkan tidak ada ketetapan dalam undang-undang atau dasar mengenai pengakuan jantina yang sah, tidak ada perubahan jantina yang dapat dilakukan pada kad pengenalan.
“Mereka yang telah menjalani Pembedahan Pertukaran Seks (SRS) diminta untuk menunjukkan bukti perubatan dan perkara itu kemudian akan dibawa ke mahkamah. JPN akan bertindak berdasarkan keputusan mahkamah mengenai apakah akan memberikan pertukaran jantina.
“Walaupun jantina tidak dapat diubah, penggantian sebahagian nama masih dapat dilakukan dengan pertimbangan sewajarnya,” katanya.