Berita Utama

Dijangka lebih ramai ADUN pembangkang Sabah sokong kerajaan?

Isnin Aliasnih dakwa ramai wakil rakyat Warisan berhubung dengan Bersatu

KOTA KINABALU, 1 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob mengumumkan keluar daripada Warisan, dijangka lebih ramai ADUN pembangkang akan menyokong kerajaan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih berkata, sebenarnya ramai wakil rakyat dari Warisan yang sudah berhubung dengan Bersatu tetapi ada antara mereka masih berbelah bahagi.

Justeru, beliau meminta agar wakil rakyat pembangkang bersama-sama dengan kerajaan untuk membangunkan Sabah kerana pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih berbaki empat tahun lagi.

“Saya fikir mereka taksub dengan pemimpin parti kerana diberi jaminan bahawa mereka akan membentuk semula kerajaan.

“Tapi, berkemungkinan juga ada perkara lain yang menjadi pertimbangan maka, sukar untuk mereka keluar meninggalkan parti,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan beberapa individu terbabit yang menghubungi parti dalam kerajaan.

Terdahulu, Yusof mengumumkan keluar Warisan untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan.

Pengumuman itu sekali gus menjawab spekulasi mengenai laporan yang mengatakan beliau keluar parti pada akhir minggu lalu.

Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN, kini tinggal 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis, Muka Mohd Darah meninggal dunia November tahun lepas dan ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button