Berita Utama

Laut China Selatan: Sejauh mana Malaysia serius dalam tuntutannya?

Ia bukan isu politik, semua warga patut mempertahankan hak

BANGI, 1 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Sudah tiba masanya Malaysia menggunakan semua saluran untuk mendepani isu Laut China Selatan dan tidak mengehadkan strategi seperti berlaku pada hari ini.

Kebelakangan ini, perkembangan di Laut China Selatan sangat membimbangkan kerana seolah-olah wilayah itu menjadi medan baharu persaingan politik-ketenteraan dan nuklear-teknologi.

Perkembangan mutakhir ini bukan sahaja disebabkan kedudukan strategik ketenteraan wilayah itu, bahkan faktor ekonomi kerana kawasan itu kaya dengan simpanan minyak dan gas, menjadi laluan perdagangan antarabangsa serta sumber makanan laut, selain faktor alam sekitar dan kedaulatan.

Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Ramli Dollah berkata, hakikatnya Malaysia turut terbabit secara langsung dalam isu ini kerana menuntut beberapa fitur di wilayah terbabit, terutama di kepulauan Spratly.

“Malaysia mula terbabit dalam tuntutan di kepulauan Spratly pada 1978. Asas tuntutan kita, berdasarkan prinsip lanjutan pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ). Malaysia dalam hal ini tidak menggunakan asas sejarah dalam tuntutannya, berbeza dengan penuntut lain.

“Apabila Malaysia mengeluarkan peta baru pada 21 Disember 1979, ia memasukkan 12 fitur di kepulauan Spratly dalam EEZ Malaysia. Lanjutan itu, Malaysia menduduki Pulau Layang-Layang pada 1983; Ubi (1986); Mantanani (1986); Siput (1999) dan Peninjau (1999),” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini, Malaysia berjaya menduduki enam daripada 12 fitur dituntut.

Namun malang, katanya lagi, kawasan dituntut dan diduduki itu turut dituntut negara lain seperti China, Vietnam, Filipina dan Brunei.

Dr Ramli berkata, bagi menguatkan tuntutan ini, beberapa pendekatan digunakan termasuk menggunakan kekuatan ketenteraan dan saluran diplomasi serta bilateral atau multilateral bersama penuntut lain.

“Namun, dalam memahami tuntutan ini, timbul beberapa persoalan sejauh mana Malaysia serius dalam tuntutannya? Adakah memadai ia berasaskan asas pelantar benua dan kekuatan ketenteraan seperti berlaku hari ini?

“Adakah isu ini hanya perlu diberikan kepada pihak tentera atau pemimpin tertinggi negara sahaja? Di manakah peranan dan fungsi warganegara Malaysia lain?” soalnya.

Hakikatnya kata beliau, isu kedaulatan di Laut China Selatan bukan isu politik, sebaliknya isu yang semua warga Malaysia berkongsi dan akan mempertahankan nilai itu.

“Inilah disebut sebagai nilai teras sebagai asas kepada pembentukan negara, khususnya Malaysia berdaulat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button