Berita Utama

Malaysia sedia jadi penggerak utama Majlis Hak Asasi Manusia

Malaysia sedia main peranan sebagai rakan yang konstruktif

KUALA LUMPUR, 1 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Malaysia berusaha menjadi pemudah cara untuk pendamai, penggerak kerjasama dan perancang permuafakatan apabila menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menerusi perutusan video berhubung pencalonan Malaysia untuk menganggotai majlis itu bagi penggal 2022-2024, Saifuddin berkata Malaysia sedia memainkan peranannya sebagai rakan yang konstruktif dan bekerjasama rapat dengan negara anggota bagi memajukan agenda hak asasi seperti yang termaktub dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia.

Beliau menyatakan, pandemik COVID-19 mencetuskan krisis ketidakseimbangan sosial ekonomi dunia, menjejaskan kehidupan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Krisis itu juga menyaksikan peningkatan sentimen perkauman dan xenofobia serta mencetuskan pelbagai ancaman ke atas kumpulan terpinggir.

“Dalam konteks ini, fungsi Majlis Hak Asasi Manusia menjadi semakin penting berbanding sebelumnya bagi memastikan krisis kesihatan awam tidak bertukar menjadi krisis hak asasi manusia global,” katanya menerusi video berkenaan yang dimuat naik dalam akaun twitter rasmi Kementerian Luar.

Saifuddin menegaskan, hak asasi manusia perlu menjadi aspek penting dalam semua usaha ketika negara dunia menyediakan kerangka kerja untuk pemulihan berkekalan dan menyeluruh.

Beliau berkata, komuniti dunia perlu berusaha lebih keras untuk mencari titik pertemuan untuk sama-sama dapat bangkit dengan lebih kuat, secara aman serta memastikan tiada yang ketinggalan.

“Atas semangat ini, Malaysia menawarkan diri untuk menjadi calon Majlis Hak Asasi Manusia untuk penggal 2022-2024,” katanya.

Saifuddin berkata, pencalonan Malaysia disokong oleh ASEAN dan Majlis Hak Asasi Manusia Kumpulan Serantau Asia Pasifik (APG).

Katanya, Malaysia juga berasa gembira kerana terpilih sebagai sebuah daripada enam negara contoh dunia berdasarkan amalan baik yang diterapkan, seperti yang terkandung dalam Universal Periodic Review (UPR), Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia.

Pemilihan anggota Majlis Hak Asasi Manusia Dunia itu akan diadakan pada 14 Oktober 2021, sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia sudah dua kali dipilih menganggotai majlis berkenaan iaitu untuk penggal 2006-2009 dan penggal 2010-2013. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button