Berita Utama

Rangkaian 4G untuk semua kawasan FELDA dalam masa terdekat: Annuar Musa

Ia antara usaha supaya konsep pendemokrasian kesalinghubungan dapat dilaksana

KUALA LUMPUR, 1 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Kesemua 317 kawasan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di seluruh negara akan diberikan keutamaan dalam mewujudkan kesalinghubungan rangkaian 4G dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia antara usaha yang dilakukan kerajaan supaya konsep pendemokrasian kesalinghubungan atau hak asasi manusia untuk mendapatkan kesalinghubungan dapat dilaksanakan di negara ini.

“Semalam saya ada perbincangan dengan rombongan pengurusan Felda yang diketuai pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh dan kita capai kata sepakat itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Angkasapuri di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, meningkatkan kesalinghubungan jalur lebar di seluruh negara termasuk kawasan pedalaman dan kampung Orang Asli antara kriteria program Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi menjayakan penghayatan konsep Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, menghubungkan segenap tempat melalui kesalinghubungan jalur lebar akan mengukuhkan institusi Keluarga Malaysia.

Annuar berkata, setiap program kementerian boleh diperkenalkan dan ditampilkan dengan lebih berkesan apabila projek fizikal dikaitkan dengan makna dan falsafah pembinaan sebuah negara bangsa.

Menurut buku kecil ‘Keluarga Malaysia’, setiap kementerian dan agensi berkaitan perlu mengusul dan mencadangkan kriteria program masing-masing mengikut kesesuaian dengan persetujuan Pejabat Perdana Menteri.

Justeru, bagi memastikan prestasi menyeluruh konsep Keluarga Malaysia, Keberhasilan Kebahagiaan (KHO) perlu disertakan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk kod skor pihak yang berkepentingan.

Menyentuh mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk dicapai oleh KKMM dalam tempoh 100 hari pertama, Annuar berkata, menghidupkan dan menceriakan semula industri kreatif negara antara agenda kementerian berkenaan.

Beliau berkata, garis panduan mengenai langkah-langkah untuk memperhebatkan industri kreatif negara sebagai salah satu daripada cabang untuk menambah pendapatan sekali gus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, pelaksanaan khidmat jalur lebar, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan penghayatan ekonomi digital antara agenda utama KKMM dalam 100 hari.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memulakan program Pakej Remaja Keluarga Malaysia untuk membantu golongan remaja memperoleh akses internet dan peranti pintar mampu milik dalam beberapa hari lagi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button