Berita Utama

Royalti pasir: SPRM sahkan ambil maklumat, dokumen dari Idris Haron

Maklumat dihantar kepada pihak pengurusan tertinggi untuk dianalisa

MELAKA, 1 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah berjumpa dan mengambil maklumat serta beberapa dokumen membabitkan isu royalti pasir dengan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad berkata, pengumpulan maklumat secara lisan dan dokumen itu dilakukan selama dua jam bermula kira-kira pukul 3 petang semalam oleh tiga pegawai SPRM di sekitar negeri ini.

“Maklumat itu telah dihantar kepada pihak pengurusan tertinggi di ibu pejabat untuk dianalisa dan diperincikan. Kami di sini hanya membantu susulan kejadian berlaku di negeri ini,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Mengenai perjumpaan individu lain dalam kes tersebut, beliau berkata, perkara itu juga akan diputuskan oleh pengurusan di pusat.

“Kompleksiti maklumat ini agak tinggi, jadi semua tindakan lanjut akan ditentukan oleh ibu pejabat.

“Setakat ini, tindakan SPRM semalam juga lebih kepada berjumpa dengan beliau untuk mengambil maklumat, bukan keterangan. Kalau keterangan, ini bermakna kita menyiasat dia,” katanya.

Sebelum ini, Idris mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir, yang menyebabkan beliau menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka.

Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu mempertahankan tindakannya menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka bagi menyelamatkan UMNO daripada ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menjelaskan tindakannya, kata Idris, beliau tidak boleh lagi menyokong kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) itu yang dilihatnya ‘penuh dengan kemungkaran.’

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button