Dunia

UK tamatkan kuarantin kendiri pengunjung lengkap vaksin dari 37 negara

Termasuk Turki, Brazil, Ghana, Hong Kong, India dan Pakistan

LONDON, 1 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Pelancong dari 37 negara yang lengkap vaksin COVID-19 tidak perlu lagi menjalani kuarantin kendiri di United Kingdom (UK) mulai minggu depan, umum kerajaan Britain pada Khamis.

UK akan menerima bukti vaksinasi dari 37 negara dan wilayah, termasuk Turki, Brazil, Ghana, Hong Kong, India, Pakistan, dan Afrika Selatan, menurut Jabatan Pengangkutan dalam satu kenyataan.

“Menjelang tibanya musim sejuk, kami memudahkan ahli keluarga untuk berkumpul semula, dengan mengurangkan jumlah destinasi dalam senarai merah, terima kasih juga atas peningkatan usaha vaksinasi di seluruh dunia.

“Mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap perjalanan adalah kunci untuk membangun semula ekonomi kita dan menaikkan semula negara ini. Dengan sekatan yang lebih sedikit dan lebih banyak orang melakukan perjalanan, kita semua dapat terus bergerak maju dengan selamat menuju pemulihan,” kata Setiausaha Pengangkutan Grant Shapps, lapor Agensi Anadolu.

UK mengeluarkan Turki daripada senarai merah perjalanan COVID-19 bulan lepas.

Sebanya 47 negara lagi bakal dikeluarkan daripada senarai itu mulai 11 Okt, menjadikan hanya tujuh negara yang tertakluk kepada semua larangan perjalanan.

Penamatan kuarantin kendiri kepada orang yang memasuki UK dari negara menggunakan vaksin diiktiraf akan meningkatkan jumlah perjalanan pada bulan-bulan akan datang, terutama menjelang cuti musim sejuk.

“Langkah-langkah keselamatan sempadan yang ketat telah membantu kejayaan program vaksinasi kami, jadi dengan kejayaan di sini dan di seluruh dunia, lebih banyak perjalanan yang selamat dapat dibuka,” kata Setiausaha Kesihatan Sajid Javid.

Menurut kerajaan UK “pelancong lengkap divaksin dari negara-negara bukan dalam senarai merah” akan dibenarkan menjalani “lateral flow test” yang lebih murah, diikuti ujian PCR percuma jika positif, sekali gus membantu mengurangkan kos ujian COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button