Berita Utama

Jawatankuasa khas diwujudkan pastikan kematian Muhammad Adib terbela

Diberi tempoh enam bulan bagi peroleh dapatan

KUALA LUMPUR, 2 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Satu jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya berhubung kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ia turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan.

“… dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, jawatankuasa khas itu diberi tempoh enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bagi tindakan susulan.

Muhammad Adib, cedera semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.

Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019. Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih 2 individu tidak dikenali. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button