Berita Utama

PM garis rencana utama pembangunan sukan negara

Menjadikan sukan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi

PUTRAJAYA, 2 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menggariskan landasan untuk pembangunan sukan negara dengan mengerakkan rencana ke arah memperkasakan penglibatan wanita, mencungkil bakat baharu dan menjadikan sukan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

Di platform perasmian sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, Ismail Sabri melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan; Program Talent Identification and Development (MyTID) dan usaha penggubalan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara.

Ismail Sabri berkata Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan menggariskan objektif, strategi dan inisiatif yang terancang ke arah memperkasa penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan ke arah menjadikan pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan seimbang.

“Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan,” katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif.

Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan juga telah ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan itu yang dianggotai 15 pakar rujuk, terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button