Berita Utama

Pulau Batu Puteh: Pasukan petugas khas diwujudkan semak semula undang-undang

Akan dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali

BANGI, 2 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Pasukan petugas khas akan diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen bersesuaian dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa bagi membuat semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, petugas khas itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh itu.

Menurut perdana menteri, penubuhan pasukan petugas khas itu yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, akan dipengerusikan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Jemaah Menteri juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah tort of misfeasance ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh,” katanya.

Pada 3 Feb 2017, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 yang memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button