Berita Utama

Utamakan sekolah agama dalam beri dana berbanding SMPC

Kerajaan perlu pandang serius dan tidak lagi salur peruntukan kepada SMPC

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Peruntukan yang lebih banyak perlu diagihkan kepada sekolah-sekolah persendirian terutama melibatkan sekolah agama rakyat, tahfiz, pondok dan persendirian agama.

Walaupun kerajaan menjelaskan sebanyak RM100 juta diperuntukan namun bilangan sekolah yang banyak menyebabkan dana yang diterima terlalu kecil dan tidak mencukupi.

Atas dasar itu, Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berpandangan, dana perlu dipertingkatkan lagi supaya sekolah-sekolah berkenaan tidak diabaikan.

Hal itu tegas beliau, jauh lebih baik berbanding mengagihkan peruntukan yang besar kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang sememangnya tidak mengikuti Perlembangaan.

“Alumni GPMS sangat kecewa selepas mendapat tahu SMPC ini turut terima dana daripada kerajaan walaupun mereka itu jelas melanggar Perlembagaan negara dan sukatan pendidikan tidak mengikut yang ditetapkan kerajaan.

“Amatlah tidak relevan untuk terus agihkan dana kepada mereka sebaliknya, tambahkan jumlah dana tersebut kepada sekolah-sekolah berkenaan yang kini berdepan episod tragis dan menunggu masa untuk ditutup selepas terjejas pandemik COVID-19.

“Kita rayu supaya kerajaan melihat perkara ini secara serius, pemberian yang lepas tidak boleh ditarik semula tetapi berharap pemberian itu tidak diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim yang mendedahkan sebanyak 63 buah sekolah SMPC di seluruh negara telah mendapat peruntukkan sebanyak RM15 juta dari kerajaan tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau menyuarakan rasa sedih dengan keadaan sekolah-sekolah agama persendirian, pondok dan tahfiz yang kelihatan uzur dan menyedihkan berikutan ketiadaan dana yang mencukupi.

“Sememangnya sekolah berkenaan adalah persendirian namun pihak berwajib tidak sepatutnya melepaskan tangan sedemikian dan perlu memantau dari masa ke semasa,” ujarnya.

Perkara itu tegas beliau, perlu diberikan perhatian kerana isu pendidikan adalah perkara penting dalam asas pembangunan sesebuah negara yang maju dan makmur.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button