Berita UtamaDunia

16 maut pesawat bawa penerjun di Russia terhempas

Juruterbang lapor enjin pesawat di sebelah kiri gagal berfungsi

MOSCOW, 3 Rabiulawal 1443H, Ahad – Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan enam yang lain cedera selepas sebuah pesawat yang membawa penerjun terhempas di wilayah Tatarstan Russia.

Pesawat itu – yang terhempas berhampiran bandar Menzelinsky – membawa 20 penerjun serta dua anak kapal.

Kementerian Kesihatan berkata, enam mangsa berada dalam keadaan yang sangat serius.

Insiden itu berlaku kira-kira jam 9:23 pagi waktu tempatan.

Gambar yang disiarkan oleh kementerian menunjukkan pesawat itu pecah dua dengan muncungnya lekuk teruk.

Menurut Gabenor Tatarstan, Rustam Minnikhanov, pada ketinggian 70 meter, juruterbang melaporkan bahawa enjin di sebelah kiri gagal berfungsi dan cuba melakukan pendaratan cemas berhampiran bandar Menzelinsk.

Juruterbang cuba menerbangkan pesawat ke kiri untuk mengelak kawasan yang dihuni, katanya.

Bagaimanapun sayap pesawat menghentam sebuah trak ketika pesawat mendarat dan terbalik.

Piawaian keselamatan penerbangan Rusia diperketat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun kemalangan terus berlaku terutamanya di wilayah terpencil.

Bulan lalu, sebuah pesawat pengangkutan Antonov An-26 terhempas di timur Rusia mengorbankan enam orang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button