Berita Utama

BERJASA sedia bentuk jajaran baru dengan kuasa ketiga

Asalkan demi bangsa dan agama serta bina semula negara

Oleh Zuhayati Yazid

SHAH ALAM, 3 Rabiulawal 1443H, Ahad – Parti BERJASA menyatakan kesediaan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik lain atas dasar membangunkan semula negara.

Presidennya, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, BERJASA tidak memilih untuk bekerjasama dengan sesiapa, asalkan membawa agenda sama demi bangsa, agama dan pembangunan semula negara.

“Sesiapa sahaja yang sudi, kita akan tonjolkan muka baharu dalam kepimpinan yang segar, berwibawa.

“Sekiranya parti-parti utama seperti PAS, UMNO, BERSATU mahu membina semula negara, silakan.

“Tetapi jika masih mahu kekalkan orang-orang lama, dan tidak bermotivasi, BERJASA sedia membuka jajaran baru dengan kuasa ketiga melalui perbincangan bersama NGO atau individu yang berwibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya, penubuhan 20 cawangan baharu Parlimen Shah Alam serta perasmian Kelab Bola BERJASA @ BERJASA FC, hari ini.

Ustaz Zamani berkata, BERJASA juga bersedia berganding dengan parti-parti kecil yang mempunyai hasrat besar membina negara.

“Ini semua sebagai isyarat kepada parti-parti utama kalau tak mampu membina semula negara, kami akan bangun dalam jajaran baharu,” katanya.

Untuk fasa permulaan, BERJASA akan menziarahi rakan-rakan parti dan juga mengadakan pertemuan dengan pimpinan NGO dan parti sedia ada.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button