‘Busuk ikan dari kepalanya, bukan ekornya’
Ummah semakin lemah kerana perpecahan politik Melayu semakin parah

PERGOLAKAN politik yang berlaku di Melaka dalam tempoh seminggu ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa perpecahan parti politik sudah semakin parah, sama ada di peringkat akar umbi hinggalah kepada kepimpinan tertinggi. Apa yang lebih teruk, perselisihan faham di kalangan kepimpinan menyebabkan rakyat dan negeri tergadai. Apabila rosak kepimpinan maka rosaklah seluruhnya kerana busuk ikan itu bermula dari kepala, bukan ekornya.
2. Melaka mempunyai pengundi campuran dengan 58 peratus adalah etnik Melayu yang terkenal dengan penyokong tegar dan fanatik UMNO seterusnya majoriti dan menyumbang kepada kemenangan besar kepada BN/UMNO dalam setiap pilihan raya umum. Namun sejak pilihan raya umum 2008, pengundi Cina yang asalnya juga menyokong BN telah beralih kepada DAP. Kemuncaknya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 2018, akhirnya negeri ini jatuh kepada pakatan parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti tipis dengan 15 DUN dimenangi PH berbanding 13 DUN dikuasai BN. Menurut kajian, keputusan luar jangka tersebut disebabkan oleh isu nasional dan tekad untuk menjatuhkan BN oleh pengundi terutamanya golongan muda atau first time voters. PH menang di kawasan bandar dan majoriti etnik Cina manakala BN/UMNO terus unggul di kawasan luar bandar dan majoriti etnik Melayu. Apabila Bersatu keluar daripada PH dan membentuk Perikatan Nasional (PN) pada Mac 2020, kerajaan Melaka bertukar tangan daripada PH kepada PN hasil daripada lompat parti oleh dua ADUN Bersatu, satu ADUN PKR dan satu ADUN DAP menjadikan PN menguasai 17 kerusi DUN manakala PH hanya tinggal 11 kerusi DUN. Maka berakhirlah dominasi DAP dalam kerajaan Melaka selama 22 bulan.
3. Namun baru-baru ini, tindakan YB Sungai Udang (UMNO) yang juga bekas Ketua Menteri Melaka bersama satu ADUN UMNO, satu ADUN Bersatu dan satu ADUN Bebas menarik sokongan kepada PN di atas dakwaan bahawa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir telah menjadikan Ketua Menteri hilang keabsahan dengan hanya 13 kerusi DUN. Tindakan ini telah mencetuskan ketidakstabilan politik sehingga Tuan Yang Di-Pertua (TYT) terpaksa menerima cadangan agar DUN dibubarkan dan piihan raya negeri diadakan dalam masa terdekat.
4. Tindakan ADUN Sungai Udang itu tidaklah membawa kepada suasana yang lebih baik bahkan menjemput mudarat yang lebih besar jika PH yang didominasi oleh DAP diberi peluang memerintah kembali. Cukuplah pengalaman kita terpaksa berdemo dan ke balai polis siang dan malam ketika 22 bulan PH memerintah atas pelbagai isu seperti isu arak, pengiktirafan UEC, penularan ajaran Syiah, penghinaan Nabi ﷺ, isu komunis dan lain-lain. Adakah tindakan beliau itu didasari dendam dan perselisihan peribadi ketika kalah dalam pemilihan UMNO Tangga Batu sebelum ini? Apakah beliau sanggup mengutamakan kepentingan peribadi dan menjual prinsip sehingga berpakat dengan Presiden PKR untuk mencalonkan dirinya sebagai Ketua Menteri yang baru? Adegan lompat parti ini sudah tentu telah merisikokan rakyat Melaka untuk mengundi ketika COVID-19 dan menggugat kepercayaan rakyat kepada sistem politik negara. Jika betul dakwaan yang dikemukakan, seharusnya penyelewengan itu harus dilaporkan kepada SPRM dan tindakan mahkamah perlu diambil, bukannya menggadaikan nasib rakyat dan negeri.
5. Politik kepartian jatuh menjatuhkan dan mengaibkan lawan serta lompat parti tidak akan membawa kita beragenda menuju negara maju. Sudahlah Wawasan 2020 tidak tercapai, rakyat kini berpecah, kurang produktif dan negara sibuk berperang dengan isu-isu dalaman. Cadangan penyelesaian yang lebih baik pada ketika ini adalah membentuk kerajaan sementara yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, dibantu pentadbir awam dan tokoh masyarakat yang berpengalaman. Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dengan kuasa yang ada boleh mengisytiharkan darurat untuk negeri Melaka bagi menangguhkan terlebih dahulu pilihan raya tersebut sehingga tarikh PRU15 kelak. Bajet pilihan raya yang ada juga boleh disalurkan sebagai bantuan kepada rakyat yang masih lagi ramai terkesan akibat wabak COVID-19. Dalam keadaan ketiadaan satu pun parti politik Melayu yang dominan ketika ini, semua parti sama ada UMNO, PAS, Bersatu, BERJASA dan sealiran perlu kembali ke meja rundingan agar ‘Grand Coalition’ dapat dibentuk dengan baik menuju PRU15 demi ummah dan negara. Apa yang lebih penting, rakyat Melaka perlu mengambil pengajaran besar daripada peristiwa ini agar hanya memilih calon muslim yang benar-benar berwibawa, bukannya pengkianat dan berfikiran songsang!
Ustaz Ir Hj Mohd Khoushaini Hj Mohd Naim