Berita Utama

Rentas negeri: Ujian saringan tidak wajib tapi digalakkan

Kerajaan belum tetapkan tempoh spesifik peralihan fasa pandemik kepada endemik

PUTRAJAYA, 3 Rabiulawal 1443H, Ahad – Ujian pengesanan kendiri COVID-19 tidak diwajibkan untuk kebenaran merentas negeri yang mula berkuat kuasa esok, namun digalakkan demi keselamatan ahli keluarga, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, melakukan ujian saringan kendiri itu menjadi sebahagian daripada tangggungjawab seseorang individu untuk melindungi ahli keluarga serta golongan berisiko.

“Terutama yang balik kampung, saringan sama ada PCR ataupun RTK, saya tak kata wajib tapi digalakkan untuk memastikan keluarga di kampung selamat, kita check dulu diri kita.

“Walaupun tak wajib ia satu tindakan melindungi keluarga, apa salahnya kita buat untuk melindungi ahli keluarga di kampung,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan platform media sosial petang ini.

Terdahulu, beliau mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan belum menetapkan tempoh spesifik bagi menentukan tarikh peralihan fasa pandemik kepada endemik bagi COVID-19.

“KKM (Kementerian Kesihatan) akan bersama-sama untuk menyediakan SOP seterusnya untuk kita beralih ke fasa endemik, mungkin SOP semakin dikurangkan, bagaimanapun ia tetap penting untuk melatih masyarakat hidup bersama COVID-19,” katanya.

Bagi memastikan proses peralihan negara ke fasa endemik berjalan lancar dan selamat, beliau berkata, rakyat kini memikul tanggungjawab yang besar untuk mejayakan usaha tersebut.

Katanya, antara langkah harus dilaksanakan adalah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri termasuk melaksanakan TRIIS iaitu ‘test, report, isolate, inform and seek’ atau ujian, lapor, kuarantin atau pengasingan kendiri, memaklumkan dan dapatkan rawatan segera. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button