Berita UtamaDunia

Ribuan penduduk bantah Itali wajibkan ‘Pas Hijau’ ke atas semua pekerja

Berdepan penggantungan kerja tanpa gaji jika ingkar arahan

ROME, 3 Rabiulawal 1443H, Ahad – Ribuan penduduk Itali termasuk ahli parti sayap kanan menyertai tunjuk perasaan di tengah bandar raya membantah tindakan memperluaskan penggunaan sijil pas kesihatan COVID-19 ke semua tempat.

Mereka turut bertempur dengan anggota keselamatan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap penguatkuasaan pas kesihatan yang dikenali ‘Pas Hijau’.

Dilaporkan, ia adalah syarat wajib kepada semua pekerja termasuk mereka yang ingin memasuki muzium, acara sukan dan restoran sejak dikuat kuasakan Ogos lalu.

Penunjuk perasan kelihatan mengibar bendera sambil melaungkan ‘bebas’ serta membawa kain rentang menyuarakan isi hati mereka.

Media Itali melaporkan kira-kira 10,000 penduduk terlibat dalam tunjuk perasaan walaupun demontrasi tidak dibenarkan.

Beberapa video yang dimuat naik di media sosial turut kelihatan penunjuk perasan bertindak ganas ke arah pasukan keselamatan dengan membaling objek-objek keras.

Malah seorang peserta dilaporkan cedera selepas cubaan memasuki bangunan pentadbiran termasuk pejabat Perdana Menteri.

Kumpulan berkenaan juga didakwa melanggar arahan pihak berkuasa termasuk mahu menceroboh kawasan Parlimen.

Agensi berita AGI melaporkan, bagi meredakan keadaan yang semakin tidak terkawal, polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata.

Kejadian tunjuk perasaan berlaku bukan sahaja di ibu negara malah di beberapa lokasi di Milan dan Cesena, tengah Itali.

Minggu lalu, Perdana Menteri Itali, Mario Draghi mengumumkan skim pas kesihatan yang dikenali ‘Pas Hijau’ atas semua pekerja, dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 menjelang musim sejuk, tidak lama lagi.

Penggunaan pas berkenaan diperluaskan ke semua tempat kerja bermula 15 Oktober ini, dan pekerja yang enggan mematuhi arahan itu berdepan penggantungan kerja tanpa gaji.

Undang-undang itu bakal menghukum pekerja tidak mendapatkan vaksinasi atau tiada bukti keputusan negatif ujian saringan COVID-19 yang terbaru.

Kewajipan ‘Pas Hijau’ itu diperluaskan terhadap seluruh dunia pekerjaan, dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.

Pas itu sudah diterapkan pada semua pekerja kesihatan, yang memerlukan mereka menyediakan sijil vaksinasi ini, bukti penyembuhan COVID-19 atau ujian saringan negatif terbaharu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button