Berita Utama

SJR sempadan negeri ditutup bermula tengah malam ini

Pemeriksaan secara rawak di lokasi tumpuan umum

BANGI, 3 Rabiulawal 1443H, Ahad – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menutup sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri bermula tengah malam ini.

Tindakan itu dilaksanakan susulan pengumuman kerajaan bahawa aktiviti rentas negeri bagi golongan yang lengkap divaksinasi dibenarkan bermula 11 Oktober ini.

Walaupun begitu, Ketua Polis Negara, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, SJR di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), SJR Ops Benteng dan SJR Cegah Jenayah Keselamatan akan dikekalkan.

“Meskipun tiada SJR di sempadan negeri, PDRM akan menggerakkan pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan masyarakat sentiasa mematuhi dan mengamalkan SOP.

“Pemeriksaan akan dijalankan secara rawak di lokasi-lokasi tumpuan umum berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat untuk tidak mengambil lewa terhadap kelonggaran pergerakan yang diberikan dan sentiasa mengamalkan tahap pematuhan SOP demi mengelakkan penularan COVID-19 kembali meningkat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button