Bekalan elektrik Lubnan kembali pulih
Tentera bekal bahan bakar kepada dua stesen jana kuasa utama

BEIRUT, 4 Rabiulawal 1443H, Isnin – Bekalan elektrik di Lubnan kembali pulih selepas tentera membekalkan bahan bakar kepada dua stesen jana kuasa utama negara itu.
Sebelum ini, stesen jana kuasa al Zahrani dan Deir Ammar berhenti beroperasi selepas bekalan diesel terputus.
Semalam, Menteri Tenaga, Walid Fayad berkata, jaringan elektrik telah kembali beroperasi selepas hampir 24 jam terputus.
“Jaringan ini kembali normal, seperti sebelum gas habis di Deir Ammar dan al Zahrani,” katanya dalam satu kenyataan.
Kebanyakkan penduduk Lubnan tidak melihat perubahan ketara dalam kehidupan seharian mereka pada Sabtu lalu, kerana negara itu hampir tidak menyediakan satu hingga dua jam bekalan elektrik sehari selama berbulan-bulan.
Lubnan menyaksikan pemotongan bekalan elektrik di seluruh negara sejak berakhirnya perang saudara tahun 1975-1990, bagaimanapun krisis ekonomi telah memburukkan lagi keadaan.
Penduduk Lubnan yang mampu, melanggan generator swasta untuk terus menyalakan perkakas, namun pemiliknya mula mengehadkan bekalan elektrik kerana kekurangan bahan bakar.
Masyarakat antarabangsa telah lama menuntut perbaikan menyeluruh sektor elektrik yang merugikan Lubnan, menelan belanja kerajaan lebih dari AS$40 bilion (RM167.13 bilion) sejak awal 1990-an. – Agensi