‘Situasi sekarang seolah PRN Melaka tak dapat dielak lagi’
Jangan ulangi kesilapan lampau, kita tak mahu lalui PKP 4.0

BANGI, 4 Rabiulawal 1443H, Isnin – Selepas hampir sembilan bulan kerajaan melarang aktiviti merentas negeri, akhirnya hari ini rakyat ‘bebas’ melancong dan pulang ke kampung menziarahi keluarga.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kebenaran itu diberikan selepas kadar vaksinasi individu dewasa yang lengkap menerima vaksin telah mencapai 90 peratus pada Ahad.
Bagaimanapun kebenaran rentas negeri tidak terpakai kepada lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Meskipun rata-rata menyambut baik khabar gembira itu, namun tidak juga yang bimbang memandangkan sehingga kini masih belum ada campur tangan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ia seolah-olah menunjukkan PRN Melaka tidak dapat dielak lagi, kata Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohammad.
“Para pengundi yang tinggal di luar Melaka sepatutnya boleh pulang pengundi seperti biasa. Manakala para pengundi yang tinggal di Melaka pula diyakinkan bahaya COVID-19 telah reda dengan 90 peratus penduduk negara kini telah divaksin
“Benarkah begitu? Bagaimana dengan populasi kanak-kanak dan bayi yang masih belum divaksin? Bagaimana pula dengan risiko varian COVID-19 yang jauh lebih merbahaya dan mampu membunuh dengan lebih senyap serta pantas?,” soalnya menerusi hantaran dimuatnaik di Facebook beliau hari ini.
Pada masa sama, beliau membangkitkan persoalan mengenai jaminan bahawa rakyat yang telah dibiarkan bebas mampu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan begitu taat.
“Tidakkah pihak berkuasa yang sepatutnya melakukan pantauan dan penguatkuasaan memerlukan rehat setelah berbulan-bulan bertugas tanpa cuti? Bukankah kekurangan pegawai yang bertugas akan menyebabkan kelemahan penguatkuasaan?
“Jangan ulang kesilapan dan kebodohan lampau. Kita semua tidak mahu melalui PKP 4.0 dan segala kesakitan yang telah dialami sebelum ini!” tegasnya.