Berita Utama

Ahli Parlimen dibenar pakai baju batik Malaysia ke persidangan setiap Khamis

Pemakaian baju batik bukanlah mandatori tetapi secara sukarela

KUALA LUMPUR, 4 Rabiulawal 1443H, Isnin – Jawatankuasa Dewan telah bersetuju cadangan pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang bagi Ahli-Ahli Parlimen ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat setiap hari Khamis.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membacakan syor itu di Persidangan Dewan Rakyat berkata, cadangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri itu bertujuan mendukung warisan negara.

 

“Pemakaian baju batik ini bukanlah mandatori dan adalah secara sukarela,” katanya ketika membacakan Penyata Jawatankuasa Dewan di sini hari ini.

 

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Sabtubong turut membacakan dua syor lagi iaitu berkaitan komposisi ahli untuk semua Jawatankuasa Pilihan Khas ditambah dari tujuh ahli kepada sembilan ahli iaitu lima Ahli Parlimen kerajaan dan empat Ahli Parlimen Pembangkang.

 

Selain itu juga cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa (Special Select Committee on International Affairs).

 

“Pertambahan itu katanya selaras dengan Peraturan 82 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan penambahan kepada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan,” katanya.

Wan Junaidi berkata Jawatankuasa Dewan juga bersetuju agar terma rujukan bagi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas ini hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut, termasuk tujuan penubuhan; keanggotaan sembilan orang ahli termasuk pengerusi, dan tempoh pelantikan selama dua tahun atau dua penggal; kuasa memanggil dan penyata Dewan.

Syor-syor itu kemudian disokong oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar dan disetujukan majlis mesyuarat.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button