Berita Utama

Isu pecah undi timbul bila ada pihak tercabar, tamak kuasa

BERJASA atur langkah 'berkawan', bincang bentuk jajaran baru dengan kuasa ketiga

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 4 Rabiulawal 1443H, Isnin – Isu ‘pecah undi Melayu’ hanya timbul sekiranya ada pihak tercabar dan merasakan kawasannya diganggu selepas terlalu selesa dengan kedudukan yang dimiliki selama ini.

Hakikatnya, perkara itu boleh diatasi dengan cara yang matang dan terbuka melalui kesepakatan tanpa ada perebutan kuasa, kata Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim.

“Sekarang kita lihat ada pemimpin anggap kawasan yang dimenangi dalam pilihan raya adalah hak mereka selama-selamanya, tanpa mahu memberi peluang kepada pihak lain.

“Keadaan itu menyebabkan mereka tidak puas hati lalu sengaja timbulkan isu pecah undi, sedangkan semua pihak perlu rasional dan wujud sikap terbuka.

“Dalam isu ini, parti-parti utama jangan tamak atau rasa tercabar, sebaliknya cari keserasian dan bahagikan hak-hak yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menangkis dakwaan bahawa keputusan BERJASA untuk bertanding di 46 Parlimen dan 29 Dewan Undang Ngeri (DUN) dalam pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menyebabkan undi Melayu berpecah.

Menolak tuduhan tidak berasas itu, Ustaz Zamani menjelaskan, setiap pemimpin dalam mana-mana parti sebenarnya boleh berbincang atau menyusun strategi secara bersama demi agenda ummah.

Beliau mengakui, BERJASA kini telah memulakan langkah awal dengan mendekati tokoh-tokoh akademik dan beberapa NGO untuk memulakan bekerjasama dalam membentuk jajaran baharu dengan kuasa ketiga.

“Buat masa ini kami masih di peringkat ‘berkawan’ dan mengenal isi hati dulu dan selepas ini barulah kita bincang dengan lebih serius dengan agenda sama iaitu membentuk pembinaan semula negara demi bangsa dan agama.

“Kita akan umumkan selepas ini, kerana buat masa ini masih dalam mencari titik keserasian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button