Berita Utama

Kaji semula pemberian pencen Allahyarham Adib

Jumlah RM300 terlalu kecil jika nak banding sebab terkorban ketika jalankan tugas

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 4 Rabiulawal 1443H, Isnin – Pemberian pencen kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim perlu dikaji semula berikutan terlalu kecil dan tidak sesuai.

Ini memandangkan Allahyarham terkorban ketika menjalankan tugas, apatah lagi membabitkan maruah dan integriti penjawat awam.

Mengakui jumlahnya diberi berdasarkan tempoh bekerja, namun Presiden Parti BERJASA, Zamani Ibrahim berkata, pembayaran pencen sebanyak RM300 dilihat tidak memadai dan terlalu kecil.

“Sebagai kerajaan, kena ada pembelaan sewajarnya dan mengikut maklumat yang kita tahu arwah hanya diberikan pencen RM300 sebulan disebabkan baru bekerja.

“Bagi saya, kerajaan perlu melihat semula ruang yang boleh dibantu. Sebab ada kes penjawat awam meninggal dunia waktu bertugas, diberikan keistimewaan seperti pampasan tinggi,” katanya.

Tambahan pula, kes Muhammad Adib ini bukan isu individu, tetapi membabitkan penjawat awam yang terkorban ketika menjalankan tugas.

Justeru, beliau berharap keluarga Allahyarham Muhammad Adib terus diberikan perhatian dan bantuan secepat mungkin tanpa ada alasan untuk menangguhkannya.

“Kita minta kerajaan melihat semula kes itu sama ada membuka kertas siasatan dan membawanya ke muka pengadilan sekali lagi untuk mendapatkan punca sebenar kematian,” katanya.

Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian berkenaan.

Jawatankuasa yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri ini akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.

Allahyarham Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari menerima rawatan.

Bagaimanapun punca kematiannya dipertikaikan sama ada akibat diserang atau kerana kemalangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button