Berita Utama

Nilai ringgit jatuh boleh beri kesan drastik pada ekonomi

‘Jangan salah pihak lain jika ada label PH-BN kerajaan gagal’

BANGI, 15 Rabiulawal 1445H, Ahad – Kejatuhan nilai ringgit ke paras melepasi RM4.70 dilihat sebagai situasi membimbangkan berikutan boleh memberi kesan drastik kepada ekonomi dan inflasi negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, situasi berkenaan memberi kesan kepada rakyat lebih-lebih lagi hampir 52.3 peratus daripada keperluan makanan negara adalah diimport.

Katanya, kerajaan masih lagi kaku dan beku dalam menangani isu tersebut.

“Dulu ketika ringgit di bawah paras RM4.50 merekalah yang paling lantang mengatakan Perikatan Nasional (PN) tidak reti mentadbir tetapi sekarang bukan sahaja ringgit menujunam ke paras terburuk.

“Bekalan beras pun berdepan krisis selain harga barang yang terus melonjak naik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut itu mendakwa, Kerajaan Madani hari ini tidak serius menangani sebaliknya langkah-langkah intervensi yang konkrit tidak dibuat.

Hakikatnya, rakyat hari ini mahukan kerajaan bertindak dan mencari jalan dalam menangani masalah dan kurangkan derita yang dihadapi.

“Bila isu beras timbul, idea luar kotak YB Menteri hanyalah suruh rakyat ubah sikap, kurangkan permintaan agar bekalan terjamin dan kurangkan makan di luar rumah supaya kos sara hidup dapat dikurangkan,

“Kalau beginilah cara negara diurus, janganlah salahkan mana-mana pihak jika ada yang melabelkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) ini kerajaan gagal.

“Ingatlah, rakyat nak melihat hasil dan kerajaan ini pun sudah hampir setahun memerintah. Buatlah kerja dengan sebaik mungkin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button