Mahkamah tangguh keputusan SIS Forum cabar Enakmen Agama Islam Selangor
Peguam bagi pihak MAIS selaku pencelah turut berhujah pada prosiding

PUTRAJAYA, 5 Rabiulawal 1443H, Selasa – Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung tindakan undang-undang oleh Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk mencabar peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri untuk mengkaji semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.
Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menangguhkan keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS selaku pempetisyen dan Penasihat Undang-Undang Selangor, Datuk Salim [email protected] yang mewakili kerajaan negeri Selangor selaku responden.
Peguam Zainur Zakaria dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang bertindak bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selaku pencelah juga berhujah pada prosiding yang dijalankan secara maya itu.
“Kami akan CAV (curia advisari vult) perkara ini. Kami tangguhkan kes ini,” kata Hakim Tengku Maimun.
Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zaleha Yusof, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang. – Bernama