Dunia

Israel lancar serangan udara sasar markas Hamas di Semenanjung Gaza

Dakwa kononnya tindak balas pelancaran belon api dari wilayah terkepung

GAZA, 5 Zulkaedah 1442H, Rabu – Tentera udara Israel melancarkan serangan di Semenanjung Gaza pada awal hari ini, setelah mendakwa penduduk di wilayah terkepung menghantar belon api ke selatan negara haram itu. 

Dalam satu kenyataan, rejim pengganas memaklumkan bahawa mereka menyerang markas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan bersedia untuk semua situasi termasuk pertempuran baharu dari Gaza. 

Rejim itu mendakwa, serangan udara awal Rabu adalah tindak balas terhadap pelancaran belon api yang dilaporkan oleh pasukan bomba Israel menyebabkan 20 kebakaran di ladang terbuka berhampiran sempadan Gaza. 

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada serangan rejim Israel itu menyebabkan sebarang korban atau kecederaan di Gaza. 

Serangan udara itu menandakan kebakaran besar pertama antara Israel dan Gaza sejak gencatan senjata pada 21 Mei, yang mengakhiri pertempuran 11 hari sehingga mengorbankan 256 rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak. 

Sumber Palestin memberitahu bahawa serangan itu menyasarkan sekurang-kurangnya satu lokasi di timur bandar Khan Younes.

Jurucakap Hamas, yang mengesahkan serangan Israel berkata, rakyat Palestin akan terus berani menentang dan mempertahankan hak serta tempat suci mereka di Baitulmaqdis. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button