Dunia

India tutup pusat beli-belah, bimbang varian Delta cetus gelombang ke-3

Kes melonjak mendadak, sistem kesihatan kini lumpuh

NEW DELHI, 15 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Negeri paling kaya di India mengarahkan pusat membeli-belah dan pawagam ditutup bagi mengawal varian COVID-19 yang dipercayai lebih mudah merebak, selain memudahkan langkah perintah berkurung. 

Sekurang-kurangnya 20 kes di negeri Maharashtra dikesan mempunyai kaitan dengan varian Delta Plus – varian yang membimbangkan India -, menurut Kementerian Kesihatan negara itu. 

Walaupun tidak diketahui punca varian itu berasal, Public Health England pertama kali melaporkan mengenai Delta Plus pada 11 Jun lalu, bahawa ia sub-garis keturunan varian Delta yang pertama dikesan di India tahun lepas. 

Varian Delta dikatakan menjadi antara faktor gelombang kedua paling dasyat ke atas India yang menyebabkan kes meningkat mendadak dan sistem kesihatan lumpuh. 

Para saintis bimbang Delta Plus berisiko mencetuskan gelombang jangkitan lain ketika India dalam fasa pemulihan daripada gelombang kedua.

Banyak negeri termasuk Maharashtra telah melonggarkan peraturan perintah berkurung yang dikenakan pada bulan April.

“Kadar kes positif dan jangkitan harian menurun secara konsisten hingga seminggu lalu, namun beberapa wilayah lagi masih mempunyai kes meningkat.

“Kita tidak tahu apakah ini disebabkan oleh kelonggaran sekatan atau varian baharu, tetapi ini menjadi perhatian kita,” kata pegawai kanan pemerintah di Maharashtra. 

Sekurang-kurangnya 11 negara lain telah melaporkan kes varian daripada Delta Plus. Varian baharu itu menjadi perhatian India, di mana lebih separuh populasi masih belum diberikan vaksin.

Hanya kira-kira 5.6 peratus populasi dewasa di India iaitu berjumlah 950 juta orang telah menerima dua dos vaksin COVID-19. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button