Rakyat bangkit tentang SUHAKAM jika terus bawa perkara bercanggah Perlembagaan
Kenapa tiada laporan isu tulisan Jawi jelas tunjuk 'fear of Islam'?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 5 Rabiulawal 1443H, Selasa – Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) kesal dengan Laporan Separuh Penggal
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang tidak begitu menekankan isu Islamofobia.
Suruhanjaya itu sepatutnya mengetengahkan isu tulisan Jawi yang mana jelas menunjukkan ‘fear of Islam’, malah digembar-gemburkan sehingga kerajaan sebelum ini seperti mengiktiraf ‘Islamofobia’ tersebut dengan membuat pusingan U mengenai polisi tulisan berkenaan.
Lebih mengecewakan, Laporan Separuh Penggal oleh SUHAKAM mengenai Kitaran Ketiga Penilaian Berkala Sejagat (UPR) seolah-olah membelakangkan nilai Perlembagaan, bahkan sosiobudaya masyarakat setempat.
Pengerusi MACSA, Lukman Sheriff Alias menegaskan, SUHAKAM seharusnya memiliki pendirian sama dengan Perlembagaan.
Malahan, pesuruhjaya SUHAKAM sewajarnya mengambil kira aspek pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai perspektif lebih daripada sekarang.
Beliau tidak menolak kemungkinan rakyat akan bangkit menentang SUHAKAM jika terus-menerus membawa perkara yang bercanggah dengan Perlembagaan seperti meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
“Kita bukan tidak menyokong antidiskriminasi tetapi penafsirannya patut ikut acuan Perlembagaan, tapi nampaknya mereka membelakangkannya.
“Selagi mana nilai Perlembagaan dan sosiobudaya kita diremehkan ataupun ditentang, kalau selalu berlaku mungkin ramai rasa tidak puas hati dan bangkit menentang SUHAKAM,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Atas sebab itu, Lukman menggesa SUHAKAM melihat konsep hak asasi secara lebih menyeluruh dan tidak selektif dalam mengeluarkan laporan.
Suruhanjaya itu juga digesa mengambil kira pengalaman rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Takkanlah SUHAKAM mengambil pendirian bahawa beberapa peruntukan undang-undang Islam bercanggah dengan Perlembagaan ataupun undang-undang negeri.
“Itu bertentangan dengan pendirian yang telah diambil oleh kerajaan selama ini berkenaan keabsahan undang-undang dan jenayah syariah,” katanya.