Berita Utama

RM84 juta untuk pembangunan Kampung Baru Cina, strategi PRU15?

Kerajaan masih berbelanja besar walau rakyat hilang sumber pendapatan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 5 Rabiulawal 1443H, Selasa – Isu dana RM15 juta kepada 63 sekolah persendirian belum reda, kini pengguna media sosial kelihatan tidak berpuas hati pula dengan peruntukan RM84 juta bagi pembangunan Kampung Baru (Cina) bagi 2021.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib memberitahu, daripada peruntukan itu, RM69 juta adalah untuk program pembangunan infrastruktur, RM5 juta untuk program bantuan baik pulih rumah dan RM10 juta untuk skim pinjaman khas penduduk Kampung Baru.

Katanya, sehingga kini, terdapat 613 Kampung Baru di seluruh Malaysia terdiri daripada tiga kategori iaitu kampung baru yang diwujudkan semasa darurat bagi mengatasi ancaman komunis, kampung baru rangkaian iaitu penempatan masyarakat Cina di pinggir bandar.

Selain itu, kampung nelayan atau kampung bagan yang menempatkan masyarakat Cina yang bekerja sebagai nelayan.

Tinjauan Ismaweb.net mendapati, rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan kerajaan itu malah ada yang menyifatkan peruntukan itu sebagai tidak wajar.

Tidak kurang juga yang mendakwa bahawa itu antara strategi kerajaan dalam meraih undi orang Cina untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) – yang dijangka akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun depan.

“Pemimpin-pemimpin UMNO tahu PRU15 ini pengundi Melayu mungkin berpecah-pecah. Banyak tak akan mengundi UMNO/BN lagi. Oleh sebab itulah nak ambil hati pengundi-pengundi Cina,” kata netizen dikenali sebagai Aziz Sham.

“Ini sebab pilihan raya dah nak dekatlah ini agaknya. Nak hapuskan stigma kerajaan Melayu Islam,” demikian pula kata Aizat Zakaria.

Ismail Husin pula meminta kerajaan lebih mengutamakan golongan yang lebih memerlukan dalam memberi peruntukan antaranya menanggung pembiayaan kesihatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Terbaiklah. Dalam keadaan wabak, ramai kehilangan sumber pendapatan. Kerajaan masih belanja besar untuk tujuan yang kurang penting buat masa ini,” kata Naz Nazmie.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button