Berita UtamaDunia

74,000 penduduk Yaman jadi pelarian tahun ini

Mereka terpaksa larikan diri kerana konflik yang meningkat

SANAA, 6 Rabiulawal 1443H, Rabu –  Lebih 74,000 warga Yaman terpaksa melarikan diri sejak awal tahun ini kerana pertempuran berterusan di negara yang dilanda perang itu, kata Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM).

“Dari 1 Januari 2021 hingga 9 Oktober 2021, IOM Yaman menganggarkan bahawa 12,413 isi rumah (74,478 Individu) pernah menjadi pelarian sekurang-kurangnya sekali,” lapor Agensi Anadolu memetik IOM dalam satu kenyataan.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengatakan ia mengesan pemindahan 504 isi rumah (3,024 individu) sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh antara 3 dan 9 Oktober.

“Kebanyakannya melarikan diri disebabkan konflik yang meningkat” di Marib (pusat Yaman), Shabwah (tenggara) dan Al Bayda (pusat Yaman).”

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pemberontak Houthi telah meningkatkan serangan untuk menguasai wilayah Marib yang kaya dengan minyak, satu daripada kubu kuat terpenting kerajaan yang sah dan menjadi markas Kementerian Pertahanan Yaman.

Yaman telah diselubungi keganasan dan ketidakstabilan sejak 2014, apabila pemberontak Houthi yang disokong Iran menguasai sebahagian besar negara itu, termasuk ibu kota Sanaa.

Sebuah gabungan dipimpin Arab Saudi yang bertujuan untuk mengembalikan kerajaan Yaman telah memperburuk keadaan.

Ia menyebabkan tercetusnya krisis kemanusiaan antara yang terburuk di dunia dengan 233,000 orang terbunuh, hampir 80 peratus atau sekitar 30 juta memerlukan bantuan dan perlindungan kemanusiaan, dan lebih 13 orang juta dalam bahaya kebuluran, menurut anggaran PBB, tambah kenyataan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button