Berita Utama

Bekalan air di Selangor dijangka pulih lebih awal

Kerja pembaikan dan penyelenggaraan dijangka siap malam ini

SHAH ALAM, 6 Rabiulawal 1443H, Rabu – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja pembaikan dan penyelenggaraan aset air dijangka pulih lebih awal dari jadual asal.

Katanya, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bahawa kerja penyelenggaraan telah mencapai tahap 76.4 peratus pada jam 3 petang hari ini.

“Saya dimaklumkan oleh Air Selangor bahawa kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan aset air telah berjalan lancar dan lebih awal dari jadual asal. Setakat jam 3 petang tadi telah mencapai tahap 76.4 peratus, lebih awal dari jadual asal iaitu 65 peratus. Alhamdulillah.

“Kerja pembaikan dan penyelenggaraan dijangka siap pada malam ini insha-Allah dan bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat selepas itu mengikut jadual. Sila ikuti maklumat terkini di hentitugas.airselangor.com,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan, sejumlah 998 kawasan sekitar Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pada Rabu hingga Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, gangguan disebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dihenti tugas untuk memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal.

Antara kawasan disenarai terjejas berikutan gangguan bekalan air ialah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button