Berita Utama

Comirnaty diluluskan untuk dos penggalak di Malaysia

8.75 juta terutama petugas barisan hadapan akan terima dos ketiga

KUALA LUMPUR, 6 Rabiulawal 1443H, Rabu – Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah mengeluarkan persetujuan bersyarat kepada vaksin Comirnaty Covid-19 oleh Pfizer untuk digunakan sebagai dos penggalak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam jawapan Parlimen mengatakan bahawa keputusan itu dibuat dalam mesyuaratnya pada 8 Oktober.

Beliau berkata, dos penggalak akan diberikan kepada semua individu untuk meningkatkan imuniti yang merosot dalam jangka waktu tertentu setelah vaksinasi penuh.

Sementara itu, dia mengatakan sekitar 8.75 juta orang akan menerima dos ketiga vaksin COVID-19, yang terdiri daripada 600,000 barisan hadapan (kesihatan, keselamatan dan pertahanan); 150,000 pesakit yang kurang daya tahan jangkitan (immunocompromised).

Ia juga merangkumi warga emas dan individu di fasiliti rawatan jangka panjang (3 juta orang); dan individu yang mempunyai komorbiditi (5 juta orang).

“Kumpulan berisiko tinggi akan diberi keutamaan untuk dos tambahan vaksin COVID-19 yang akan dilakukan ketika imuniti kawanan untuk populasi dewasa telah melebihi 80 peratus.

“Garis panduan dalam pemberian dos tambahan sedang dibuat dan disusun oleh Kementerian Kesihatan,” katanya menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 September mengumumkan pemberian dos ketiga untuk kumpulan berisiko tinggi COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button