Berita Utama

Rasuah punca Tanah Rizab Melayu menyusut?

Jangan sampai bangsa Melayu ‘dibeli’ dengan nilai ringgit oleh orang asing

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 6 Rabiulawal 1443H, Rabu – Kegiatan haram rasuah atau kepentingan peribadi pemimpin didakwa menjadi punca utama penyusutan Tanah Rizab Melayu, sama ada hak miliknya dibatalkan atau dipindah tanpa diganti semula.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, salah guna kuasa berlaku di semua peringkat menyebabkan penyusutan tanah rizab gagal dibendung, biarpun ada dasar bagi memastikan hak istimewa itu kekal terpelihara.

“Kuasa membatalkan atau menukar status Tanah Rizab Melayu di tangan eksekutif di setiap negeri.

“Malangnya kuasa yang ada disalah guna, rasuah bermula dari peringkat atasan hingga bawahan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Malah, tegas beliau undang-undang tidak seragam dan enakmen berbeza-beza di setiap negeri turut mencetuskan masalah dalam melindungi dan mengekalkan kedudukan Tanah Rizab Melayu.

Justeru, beliau mencadangkan supaya mencontohi tindakan kerajaan negeri Kelantan yang menghadkan penjualan tanah di negeri berkenaan.

Malah, turut mewajibkan penjualan tanah hanya dibenarkan kepada rakyat Kelantan sahaja demi menjaga kepentingan rizab Melayu.

“Kita tengok sekarang Tanah Rizab Melayu di Kelantan masih tinggi iaitu sebanyak 32 peratus berbanding tanah di Kuala Lumpur hanya berbaki 0.02 peratus sahaja,” katanya.

Ustaz Zamani mengingatkan kerajaan supaya memandang serius isu penyusutan tanah rizab, termasuk mengkaji semula keberkesanan dasar sedia ada.

Katanya, semua pihak perlu mengambil berat ketuanan yang ada pada Melayu agar tidak lagi terhapus sedikit masa lagi.

“Kita tidak mahu bangsa Melayu ‘dibeli’ dengan nilai ringgit oleh bangsa asing yang hanya menumpang di tanah air kita sendiri.

“Seharusnya kita perlu tanamkan pendirian bahawa tanah adalah lambang kepada kuasa seseorang, sekiranya kuasa itu dijual ia menyebabkan jati diri bangsa Melayu tergadai dengan sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button