Berita Utama

Rentas Negeri: Pulau Pinang bekukan cuti kakitangan perkhidmatan penting

Tindakan tersebut adalah memastikan pelaksanaan penguatkuasaan dijalankan lebih efisien

GEORGE TOWN, 6 Rabiulawal 1443H, Rabu – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersiap sedia menghadapi kemasukan kira-kira 50,000 pengunjung pada hujung minggu ini dengan membekukan cuti 2,342 kakitangan yang terlibat dalam perkhidmatan penting.

Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang berkata, tindakan membekukan cuti kakitangan tersebut adalah untuk memastikan pelaksanaan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih efisien berikutan kerajaan telah membenarkan aktiviti merentas negeri bagi individu yang telah lengkap divaksin bermula Isnin lepas.

“MBPP akan membekukan cuti rehat ke atas 2,342 daripada 3,019 kakitangan atau 78 peratus melibatkan staf perkhidmatan penting seperti kesihatan, persekitaran, penguatkuasaan, perlesenan, perkhidmatan perbandaran, landskap dan kejuruteraan untuk tempoh 15 hingga 19 Okt ini.

“Malah, bagi kakitangan yang telah mendapat kelulusan cuti rehat diminta untuk membatalkan cuti tersebut dan datang ke tempat kerja bagi memastikan keadaan di bahagian pulau terjaga,” katanya kepada pemberita menerusi sidang akhbar secara Zoom,hari ini.

Beliau berkata, MBPP turut bersiap sedia dalam menghadapi cabaran dari segi lalu lintas disebabkan oleh peningkatan kenderaan ke negeri itu dan juga peningkatan sampah sarap berikutan aktiviti manusia yang turut dijangka meningkat.

Yew berkata, MBPP akan memperkasakan tindakan penguatkuasaan dengan menjalinkan kerjasama antara pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dapat dipatuhi pengunjung pada tahap maksimum seterusnya membendung sebarang penularan COVID-19.

“Selain daripada penguatkuasaan fizikal, MBPP juga akan mengoptimumkan penggunaan lebih 1,000 kamera litar tertutup (CCTV) dan pembesar suara dalam kerja pemantauan SOP di kawasan tumpuan seperti tempat pelancongan dan restoran,” katanya.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button