Berita Utama

Sektor pelancongan negeri pantai timur dijangka pulih dalam tempoh singkat

Kawasan pelancongan mula dikunjungi orang ramai

 

KOTA BAHARU, 6 Rabiulawal 1443H, Rabu –  Sektor pelancongan di negeri-negeri pantai Timur dijangka kembali pulih dalam tempoh singkat berikutan sambutan dan kehadiran pengunjung yang dicatatkan di lokasi tarikan pengunjung sangat memberangsangkan.

 

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin berkata hasil tinjauan yang dilakukan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mendapati banyak kawasan pelancongan sudah mula dikunjungi orang ramai.

 

“Sebagai contoh di Tasik Kenyir, Terengganu dalam tempoh tiga minggu sahaja direkodkan seramai 35,000 pelancong domestik datang selepas beralih dari Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

“Tinjauan di Cameron Highlands, Pahang dan pulau-pulau juga menunjukkan sudah ada penerimaan pelancong dan itu satu petanda baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, Hafiz berkata pemain industri juga sudah bersedia menerima pelancong dalam kehidupan norma baharu.

 

“Sebagai contoh, bila pelancong datang dan sekiranya ada kes COVID-19, tempat mereka sudah pasti akan ditutup.

 

“Saya yakin pemain industri akan sentiasa memastikan segala syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi,” katanya. – Bernama

 

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button