Berita Utama

Bekas guru besar didakwa pecah amanah wang sumbangan zakat RM75,000

Guna sumbangan untuk kegunaan sendiri, tidak diagih ke asnaf

SHAH ALAM, 7 Rabiulawal 1443H, Khamis – Seorang bekas guru besar hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah menyalahgunakan wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 pada 2019.

Bagi kesemua pertuduhan, Mohamed Nor Azmi Darno, 54, didakwa melakukan pecah amanah dengan curangnya menyalahgunakan wang sumbangan zakat, dengan nilai keseluruhan RM75,000 daripada sebuah syarikat korporat kepada murid asnaf di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh, dekat sini di mana tertuduh merupakan guru besar sekolah itu pada masa tersebut.

Mohamed Nor Azmi yang kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor didakwa menyalahgunakan wang sumbangan itu, masing-masing RM5,000; RM40,000 dan RM30,000 untuk kegunaannya sendiri dan tidak diagihkan kepada murid asnaf sekolahnya, bagi program Pemberian Sumbangan Hari Raya 2019.

Dia melakukan kesemua kesalahan tersebut di sebuah cawangan bank tempatan di Saujana Utama, Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini pada 17 dan 19 Jun 2019.

Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Asikin Mohamed Yusoff.

Terdahulu, Nur Asikin yang mewakili Mohamed Nor Azmi memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah daripada RM80,000 yang dicadang pihak pendakwaan, atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan enam anak dengan dua daripada mereka masih belajar serta tertuduh merupakan pencari nafkah utama keluarga.

Hakim Rozilah Salleh memerintahkan tertuduh diikat jamin RM30,000 untuk kesemua kesalahan dengan seorang penjamin, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Nov depan.

Sebagai syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button