Berita Utama

Akhirnya pihak kuil akui ceroboh tanah milik Yayasan Kubra

Akur untuk robohkan binaan kecil kuil dalam tempoh 2 minggu

RAWANG, 7 Rabiulawal 1443H, Khamis – Kemelut pencerobohan tanah milik Yayasan Kubra berakhir setelah pihak kuil mengakui kesilapan mereka kerana memasuki kawasan berkenaan secara haram.

Malah, mereka turut akur untuk meruntuhkan kuil-kuil kecil yang dibina di atas tanah berkenaan dalam tempoh dua minggu.

Pengasas Pondok Hijrah Muslimah Malaysia (MUM), Wan Asshima Kamaruddin berkata, kes tersebut mendapat maklum balas baik berikutan bantahan dibuat oleh Yayasan Kubra, MUM serta penduduk Taman Rawang Perdana ke atas pencerobohan, baru-baru ini.

“Hasil daripada rundingan, pihak kuil mengakui kesalahan menceroboh tanah sah milik Yayasan Kubra.

“Pihak kuil juga akur dan meminta notis selama 14 hari untuk meruntuhkan termasuk binaan kuil kecil yang dibina di atas tanah yang diceroboh secara haram,” katanya seperti dipetik portal samudera.my.

Wan Asshima juga menjelaskan, pihaknya turut memaklumkan perkara tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau yang juga Exco Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh Dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) yang menguruskan hal ehwal bukan Islam di Selangor.

“YB Ganabatirau sudah mengetahui perkara ini selepas mengadakan pertemuan dengan wakil kuil,” ujar Wan Asshima.

Dalam masa sama, MUM akan mengadakan perjumpaan sekali lagi dengan pihak kuil bersama ADUN Kota Kemuning berikutan kesediaan LIMAS untuk menjadi salah satu jawatankuasa yang membantu Yayasan Kubra dalam menyelesaikan isu pencerobohan itu.

Isu pencerobohan secara haram berkenaan mula diketahui umum selepas pemilik Yayasan Kubra meminta pihak kuil mengosongkan kawasan tanah yang diceroboh secara haram.

Sebaliknya, pihak kuil menuntut sejumlah pampasan dari Yayasan Kubra sekiranya mahu mereka mengosongkan tanah yang didakwa terbiar.

Tindakan tersebut dianggap biadap oleh Wan Asshima kerana pihak kuil mendakwa mereka sudah lama menjaga tanah yang terbiar kosong itu.

Tanah milik Yayasan Kubra itu dalam perancangan untuk dibangunkan Pondok Hijrah Muslimah, iaitu sebuah rumah perlindungan wanita dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button