Berita Utama

Hidup bersama endemik COVID-19 tuntut kebersihan tangan

Masyarakat bersedia untuk hidup bersama virus dalam persekitaran

KUALA LUMPUR, 7 Rabiulawal 1443H, Khamis – Selepas hampir dua tahun rakyat negara ini menjalani kehidupan dalam kekangan, mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19, masyarakat kini bersedia untuk hidup bersama-sama virus itu sebagai endemik, iaitu akan sentiasa ada dalam persekitaran.

Justeru, mahu tidak mahu rakyat perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan semasa fasa pandemik, terutamanya dalam aspek kebersihan iaitu mencuci atau membasuh tangan.

Apatah lagi kerajaan telah melonggarkan sebahagian besar sekatan termasuk dari segi pergerakan rentas daerah dan negeri, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat untuk kembali melakukan aktiviti sosial. Ini turut bermakna perlu lebih kerap membasuh tangan bagi mengelakkan jangkitan virus yang tidak mengenal belas itu.

Dalam pada itu, amalan mencuci tangan juga tidak boleh dilakukan secara ala kadar. Malah, sejak dahulu lagi kegagalan membasuh tangan dengan sempurna boleh menyebabkan penyakit seperti cirit-birit, sementara bagi bayi dan kanak-kanak pula berpotensi mendedahkan mereka kepada penyakit tangan, kaki dan mulut.

CEGAH JANGKITAN PENYAKIT

Pakar Runding Perubatan Keluarga, Klinik Perubatan Penjagaan Primer, Pusat Perubatan UiTM Dr Ilham Ameera Ismail berkata tangan merupakan anggota badan yang sentiasa terdedah kepada persekitaran kerana fungsinya diperlukan hampir dalam semua aktiviti yang dilakukan manusia.

“Melihat kepelbagaian fungsinya, menjaga kebersihan tangan sangat penting dan juga satu aspek pencegahan jangkitan penyakit yang paling mudah dilakukan.

“Mereka yang tidak jaga kebersihan tangan bukan saja boleh menjejaskan kesihatan diri sendiri tetapi juga orang lain. Tangan yang kotor bukan saja boleh menjadi tempat kuman membiak tetapi juga sebagai medium untuk kuman disebarkan dari satu tempat ke tempat yang lain… macam ‘kenderaan’ bagi kuman pula. Tangan yang tidak dicuci dengan rapi juga bukan membawa kuman sahaja tetapi kotoran lain seperti najis dan bahan kimia,” katanya kepada Bernama.

“(Bayangkan) Satu gram najis manusia sahaja pun boleh mengandungi satu trilion kuman,” tambah beliau.

Menurut Dr Ilham Ameera yang juga juga doktor kesihatan pekerjaan, menjadi tabiat manusia untuk menyentuh muka, mata, hidung dan mulut mereka dari semasa ke semasa, sekali gus menyebabkan kuman pada tangan memasuki badan melalui rongga mata, hidung atau mulut individu berkenaan.

COVID-19 DAN KAITAN BASUH TANGAN

Menurut beliau, hakikat bahawa virus COVID-19 merebak melalui titisan cecair daripada hidung atau mulut pesakit menyebabkan virus tersebut amat mudah menjangkiti individu lain.

“Jika mereka yang dijangkiti bersin atau batuk secara terbuka, potensi titisan terjatuh ke atas permukaan yang terdedah, atau jika mereka menutup hidung atau mulut dengan tangan, dan kemudian tanpa membasuh tangan menyentuh permukaan, virus itu akan tersebar di atas permukaan berkenaan.

“Orang lain yang menyentuh tempat yang sama dan memegang muka atau makan tanpa membasuh tangan boleh mendapat kuman COVID-19,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Ilham Ameera berkata membasuh tangan dengan cara yang betul dapat mengurangkan risiko mendapat cirit-birit antara 23 dan 40 peratus.

“Ia turut mengurangkan risiko penyakit respiratori antara 16 dan 20 peratus. Tangan yang bersih dapat mengelakkan satu daripada tiga kes cirit-birit serta satu daripada lima kes jangkitan respiratori,” katanya.

Sehubungan itu katanya pematuhan SOP COVID-19 yang ditekankan oleh kerajaan tidak bertujuan menyusahkan ahli masyarakat.

BASUH TANGAN 40 HINGGA 60 SAAT

Katanya dalam menjalani kehidupan bersama-sama virus itu, ahli masyarakat perlu sentiasa berhati-hati dan memastikan pematuhan SOP COVID-19 sebagai satu kebiasaan, khususnya berkaitan kebersihan tangan yang harus dicuci dengan cara yang betul.

“Apabila saya tekankan cara yang betul, membasuh tangan selama dua atau tiga saat bukanlah cara yang betul. Membasuh tangan yang betul adalah selama sekurang-kurangnya 20 saat dan sebaik-baiknya 40 hingga 60 saat menggunakan sabun serta air yang mengalir.

“Kekerapan basuh tangan bergantung pada penggunaan tangan dan perlu basuh tangan jika tangan didapati kotor. Selepas basuh, keringkan tangan menggunakan kain atau tisu yang bersih atau ‘hand dryer’. Rugi kalau sudah basuh tangan tetapi selepas itu menggunakan kain yang kotor untuk mengeringkan tangan pula,” katanya.

Dr Ilham Ameera berkata berikutan gaya hidup masa kini menuntut individu sentiasa bergerak, ramai yang memilih cecair pembasmi kuman atau pensanitasi tangan bagi membersihkan tangan yang disifatkan mereka lebih mudah.

“Pembasmi kuman boleh mematikan kuman tetapi tidak boleh membersihkan najis atau kekotoran yang ketara. Cara penggunaan juga hendaklah betul iaitu selama 20 hingga 30 saat. Jika seseorang itu menggunakannya berulang kali, mereka perlu membasuh tangan dengan air apabila tangan sudah berasa melekit,” katanya.

KEMPEN KESEDARAN

Bagi menerapkan elemen kebersihan tangan dalam kehidupan seharian, pemupukan kesedaran harus bermula pada peringkat kanak-kanak. Bersandarkan pendekatan itu, Unilever Malaysia yang mengeluarkan pelbagai produk untuk kegunaan isi rumah termasuk barangan untuk kebersihan menjalankan kempen kebersihan diri sejak sedekad lalu.

Pengarah Pemasaran, Penjagaan Kecantikan dan Peribadi Unilever Malaysia-Singapura Lenny Chuah berkata menerusi Rancangan Kehidupan Berkelanjutan Unilever (USLP), syarikat itu melalui jenama produk kebersihan Lifebuoy keluarannya, menyasarkan untuk meningkatkan amalan kebersihan tangan dalam kalangan lebih satu bilion orang.

“Untuk mencapai matlamat itu, Lifebuoy menjalankan program perubahan tingkah laku terbesar di dunia dalam kalangan kanak kanak sekolah sejak sedekad lalu. Tahap kesedaran orang ramai berhubung kebersihan tangan meningkat sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Berdasarkan penilaian pada 2020 mengenai Pengetahuan dan Amalan Kebersihan Tangan dalam Kalangan Kanak-kanak Prasekolah di Lembah Klang, didapati majoriti murid prasekolah memperoleh pengetahuan tentang mencuci tangan daripada ibu bapa mereka dan 63 peratus menunjukkan teknik mencuci tangan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 2010 hingga kini, kira-kira 480,000 kanak-kanak di Malaysia telah mengikuti kempen kesedaran Lifebuoy itu.

Menurutnya, disebabkan Malaysia belum menetapkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun boleh divaksinasi untuk mencegah COVID-19, maka amalan terbaik untuk mengelakkan virus maut itu menjangkiti golongan ini ialah dengan sentiasa menjaga kebersihan tangan.

“Kanak-kanak dengan masalah kesihatan mempunyai risiko lebih besar dijangkiti COVID-19 yang teruk dan ada dimasukkan ke hospital. Antara masalah kesihatan melibatkan kanak-kanak ialah penyakit berkaitan pernafasan yang kronik, kardiovaskular, hipertensi dan penyakit buah pinggang kronik,” katanya.

Tambahan pula katanya kanak-kanak yang masih kecil khususnya, mempunyai daya ingin tahu yang kuat dan berkecenderungan menyentuh apa sahaja yang ada di depan mata, sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai jenis penyakit termasuk COVID-19.

“Mencuci tangan menggunakan air sahaja tidak cukup untuk membasmi kuman di permukaan tangan. Ibu bapa disaran menggunakan pembersih tangan berasaskan alkohol dengan betul bagi memastikan tangan bersih bebas kuman. Pembersih tangan seharusnya mempunyai kandungan alkohol sekurang-kurangnya 60 hingga 80 peratus untuk mencetuskan tindakan antimikrob yang pantas dan optimum,” jelasnya.

PENDIDIKAN MENERUSI VIDEO

Sementara itu pekerja swasta Noor Hasliza Nusi, 38, berkata dia menerapkan amalan kebersihan tangan kepada anak-anaknya menerusi video tentang cara mencuci tangan yang dikongsikan oleh pelbagai pihak melalui media sosial.

“Itu cara yang saya lakukan, sebab kanak-kanak ini kita tidak boleh terang secara lisan sahaja, mereka kurang faham, kena cara praktikal. Justeru saya jadikan medium sosial untuk anak-anak belajar dan memahami cara membasuh tangan dengan betul, dan dari situ mereka dapat tanamkan sifat betapa pentingnya membasuh tangan apatah lagi dalam kehidupan norma baharu,” katanya.

Bagi Pembantu Pengurusan Murid Sekolah Kebangsaan Taman Medan di Petaling Jaya, Sarina Aziz, 35, berkata menjadi kelaziman buatnya dan guru di sekolah itu untuk sentiasa mengingatkan murid-murid prasekolah mengamalkan tujuh langkah cara-cara mencuci tangan dengan betul.

“Penting untuk selalu mengingatkan mereka agar tangan sentiasa bersih sebelum menyentuh makanan. Amalan tujuh langkah iaitu basuh tangan dengan sabun dan air secukupnya, gosok tapak tangan, gosok setiap jari dan celah jari, gosok kuku di tapak tangan, gosok belakang tangan, basuh tangan dengan air bersih secukupnya dan keringkan tangan dengan kain bersih selalu dipraktikkan,” katanya, menambah ibu bapa turut diingatkan agar membekalkan anak mereka dengan cecair pembasmi kuman dan tisu basah untuk dibawa ke sekolah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button