Berita Utama

Kerja selenggara aset kritikal LRA SSP1 siap dilaksanakan

Bekalan air telah mula disalurkan ke sistem agihan

KUALA LUMPUR, 7 Rabiulawal 1443H, Khamis – Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah siap dilaksanakan 5 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan memaklumkan, setakat 6 pagi sistem rawatan air di LRA SSP1 telah distabilkan dan bekalan air telah mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air.

“Bekalan kepada para pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat pada jam 5 petang ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas, berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Penduduk di 998 kawasan sekitar Lembah Klang mula mengalami gangguan bekalan air bermula semalam berikutan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan berkenaan, dengan daerah terlibat antaranya Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Elina berkata Air Selangor terus menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau mengajukan sebarang pertanyaan dan aduan di Pusat Bantuan di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button