Berita UtamaDunia

New Zealand lapor kenaikan kes COVID-19 terbesar dalam 6 minggu

Penduduk Auckland didesak patuh peraturan 3 tahap dengan ketat

WELLINGTON, 7 Rabiulawal 1443H, Khamis – New Zealand melaporkan peningkatan jangkitan COVID-19 terbesar dalam tempoh enam minggu dengan semua kes dikesan di Auckland.

Kenaikan itu sekali gus memperkuatkan lagi prospek lanjutan sekatan pergerakan di bandar terbesar negara itu menjangkaui seminggu.

Kira-kira 1.7 juta penduduk di Auckland dikenakan perintah ketat di rumah sehingga Isnin ketika pegawai berusaha untuk mengatasi varian Delta yang mudah menular dengan cepat.

Timbalan Perdana Menteri, Grant Robertson berkata, peningkatan jumlah kes di Auckland bukannya tidak dijangka ‘tetapi ia meningkat dengan lebih pantas’ dan menyalahkan perhimpunan di rumah yang dilarang sebagai punca lonjakan kes.

Ketika sidang media di Wellington, beliau mendesak penduduk di Auckland untuk mematuhi peraturan tiga tahap dengan ketat, di mana kebanyakan orang diminta untuk duduk di rumah kecuali mempunyai alasan mendesak untuk keluar.

Sebanyak 71 kes tempatan baharu dilaporkan di negara itu, semuanya dikesan di Auckland, meningkat daripada 55 kes hari sebelumnya.

Kira-kira 2.49 juta rakyat New Zealand telah divaksinasi sepenuhnya atau sekitar 59 peratus dari populasi yang memenuhi syarat.

Para pegawai berjanji untuk menamatkan sekatan selepas 90 peratus penduduk divaksinasi.

Sekalipun dengan penularan Delta, New Zealand mencatatkan hanya 4,472 kes COVID-19 yang disahkan dan 28 kematian ketika pandemik, jauh lebih rendah berbanding banyak negara lain. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button