Dunia

Palestin kutuk Israel bina menara, pasang kamera di Al-Aqsa

Kecam cubaan rejim ubah realiti sejarah, demografi Baitulmaqdis

RAMALLAH, 17 Syaaban 1445H, Selasa – Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel membina menara dan pemasangan kamera pengawasan di dinding barat Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur.

Kementerian itu turut mengecam pencerobohan harian yang berlaku di seluruh masjid dan cubaan Israel mengubah realiti sejarah, politik, demografi serta undang-undang Baitulmaqdis.

Ia juga mengutuk pembinaan unit kolonial di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Dalam kenyataan pada Isnin, kementerian itu turut mengecam tindakan Israel yang sengaja menyasarkan Baitulmaqdis dan warga Palestin, terutama Masjid Al-Aqsa serta sekatan akses ke tapak suci itu pada bulan Ramadan.

Kementerian menegaskan bahawa langkah-langkah pencerobohan rejim adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta resolusi UNESCO.

Justeru, Kementerian Luar menggesa inisiatif antarabangsa untuk segera campur tangan bagi menghentikan pencabulan dan menghentikan perang pembunuhan beramai-ramai serta pembersihan etnik ke atas rakyat Palestin.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button