Berita Utama

Risiko jangkitan masih ada meski vaksinasi sudah 90 peratus

I-Medik saran buat perancangan untuk pulang ke kampung

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 7 Rabiulawal 1443H, Khamis – Pastinya ramai mengambil peluang pulang ke kampung halaman pada hujung minggu ini selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri Ahad lalu.

Bagaimanapun perlu diingatkan semua pihak harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), bagi mengelakkan peningkatan bilangan kes positif COVID-19.

Meskipun kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri, Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob mengingatkan bahawa tidak bermakna aktiviti majlis sosial dibenarkan.

Katanya, lonjakan kes berlaku atau tidak bergantung pada tanggungjawab masing-masing.

“Tidak siapa yang mengetahui sama ada semua dah ambil vaksin ataupun tidak kecuali individu itu sendiri.

“Justeru, tanggungjawab individu perlu ditekankan ketika berlakunya aktiviti rentas negeri dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Walaupun kadar vaksini populasi dewasa mencapai 90 peratus, Dr Azizi mengingatkan dalam apa keadaan sekalipun, risiko jangkitan itu masih ada.

Katanya, masih ada lebih 1 juta penduduk dewasa di seluruh negara belum terima vaksin dan mereka ini masih terdedah.

“Jadi kita nak tekankan risiko jangkitan tetap ada sama ada yang dah ambil vaksin malah yang belum ambil. Oleh itu, pematuhan kepada SOP perlu dilakukan,” katanya.

Selain itu, Dr Azizi menasihatkan orang ramai untuk membuat perancangan yang lebih baik terutamanya bagi mereka yang mahu pulang ke kampung.

“Tidak perlu berpakat-pakat balik serentak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button