Berita UtamaDunia

Serangan panah di Norway ragut 5 nyawa orang awam

Perisik dalam situasi berjaga-jaga meski tiada amaran keganasan dikeluarkan

KONGSBERG, 7 Rabiulawal 1443H, Khamis – Seorang lelaki bersenjatakan alat memanah bertindak agresif apabila melepaskan sasaran ke arah orang awam sehingga menyebabkan lima maut dan beberapa lagi cedera, semalam.

Lelaki berkenaan kini ditahan pihak berkuasa dan motif sebenar serangan di beberapa lokasi di pusat bandar masih dalam siasatan, kata Ketua Polis Daerah Drammen, Oyvind Aas.

Terdahulu, polis menerima panggilan kecemasan dari pusat Kongsberg pada jam 6.13 petang waktu tempatan.

“Lelaki terbabit bagaimanapun sudah ditahan polis dan berdasarkan maklumat kami, hanya seorang saja yang bertanggungjawab dalam serangan itu.

“Kita tidak dapat mengesahkan adakah ini serangan pengganas memandangkan suspek melakukan perbuatan sendirian dan berjalan sendirian sebelum bertindak ganas dengan melepaskan anak panah ke arah mangsa-mangsa,” katanya pada sidang media.

Tambah Aas, setakat ini pihak berkuasa tidak bercadang mengeluarkan amaran keganasan susulan kejadian itu.

“Lima orang maut dan dua yang cedera kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di hospital namun mereka dalam keadaan stabil,” katanya.

Salah seorang yang cedera adalah pegawai polis yang sudah tamat waktu bertugas, yang berada di sebuah kedai di salah satu lokasi kejadian.

Seorang jurucakap, Martin Bernsen menyatakan pihak perisikan Norway, PST kini dalam situasi berjaga-jaga.

Sementara itu, Perdana Menteri, Erna Solberg menyifatkan kejadian pelik yang berlaku di bandar Kongsberg itu sangat “mengerikan”.

“Saya faham bahawa ramai penduduk kini berada dalam ketakutan, tetapi semuanya terkawal berikutan polis sedang membuat kawalan ketat di seluruh bandar ini,” kata Solberg. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button