Berita UtamaIstimewa

Tutup SUHAKAM jika tak ada kebaikan untuk rakyat

Jangan kerana nak kekal kuasa hak peribumi Melayu Islam diabai

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 7 Rabiulawal 1443H, Khamis – Kerajaan perlu menjalankan ‘post mortem’ terhadap peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang kelihatan lebih membela golongan liberal.

Bahkan, suruhanjaya itu juga dilihat tidak sepenuhnya membela hak asasi peribumi Melayu yang teraniaya kebelakangan ini.

Sebelum ini, SUHAKAM mencetuskan kemarahan ramai apabila bersikap tidak adil dalam Laporan Separuh Penggal mengenai Kitaran Ketiga Penilaian Berkala Sejagat (UPR).

Menerusi laporan tersebut, SUHAKAM antaranya mencadangkan kepada kerajaan untuk memiliki pendekatan inklusif terhadap hak untuk kesihatan yang merangkumi penjagaan kesihatan yang dapat diakses dan berpatutan kepada semua orang di Malaysia termasuk masyarakat yang rentan dan pelbagai seperti lelaki, wanita, non-binari, LGBTQ+ dan pekerja migran.

SUHAKAM juga mendesak Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa agama untuk berkomitmen dalam menjaga persekitaran pendidikan, di mana martabat kanak-kanak dihormati dan diskriminasi atas dasar orientasi seksual dan identiti jantina dihapuskan.

Menggesa kerajaan bertegas, Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat mengingatkan jangan kerana mahu kekal kuasa dan kepentingan politik, maka prinsip asas menjaga hak peribumi Melayu Islam diabaikan.

“Sepatutnya kerajaan dah lama buat ‘post mortem’ peranan SUHAKAM ini.

“Tutup saja jika banyak berikan keburukan kepada rakyat.

“Tak perlu berikan peruntukan jika banyak buat kerja yang mudarat kepada agama, bangsa dan negara kita, sedangkan banyak NGO-NGO Islam yang berjasa masih tidak dibantu dan dipedulikan” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, Ustaz Masridzi turut meluahkan rasa kesal melihat sikap ‘double standard’ terus berlaku meskipun kerajaan bertukar.

“Jika terus begini tiada gunanya perubahan kepada kerajaan ini berlaku kerana golongan yang membuat kerosakan terus dibantu sedangkan pejuang-pejuang sebenar serta rakyat marhaen terus ditindas dan diabaikan,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button