Berita Utama

Polis tahan lelaki edar 388 karton rokok seludup

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967

BATU PAHAT, 8 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup di sekitar kawasan Parit Raja, Batu Pahat dengan tertangkapnya seorang lelaki warga tempatan dan merampas 388 karton rokok tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM80,587.80.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Dimin Awang berkata turut dirampas daripada suspek berusia 59 tahun itu ialah kereta Proton Wira yang dipercayai digunakan bagi aktiviti mengedar rokok berkenaan.

Dalam kenyataan, beliau berkata antara jenis rokok yang dirampas ialah 100 karton rokok jenama JDB 20 batang; 38 karton U2 20 batang; 33 karton Canyon Menthol 20 batang; 17 karton John Kelabu 20 batang dan lapan karton John White 20 batang.

“Turut dirampas adalah 60 karton rokok jenama Canyon Premium 20 batang; 50 karton Surya 16 batang; 21 karton Surya 12 batang: 41 karton Nusantara Menthol Mild 12 batang; 11 karton D&J Ice Plus 20 batang dan sembilan karton Canyon Blast 20 batang,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki bertanggungjawab membekalkan rokok tidak bercukai di kedai-kedai runcit sekitar kawasan Parit Raja.

Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button