Berita UtamaDunia

UAE buka kedutaan di negara haram Israel

Abu Dhabi pertimbang buka konsulat di Haifa atau Nazareth

ABU DHABI, 18 Muharram 1442H, Ahad – Seorang pegawai kanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendedahkan, negara itu bakal membuka kedutaan di negara haram Israel.

Pegawai berkenaan turut memaklumkan, usaha tersebut bakal dilaksanakan dalam masa tiga hingga lima bulan lagi berikutan kesepakatan yang dicapai di antara kedua-dua buah negara untuk menjalinkan hubungan diplomatik.

Akhbar Israel, Hayom memetik pegawai Kementerian Luar Negeri UAE yang tidak disebutkan namanya mengatakan bahawa penduduk Israel boleh mendapatkan visa untuk melakukan perjalanan ke negara Arab Teluk Parsi itu setelah pembukaan misi diplomatik.

“Saya rasa orang Israel akan dapat visa perjalanan ke UAE dari kedutaan yang akan dibuka di Israel selepas tiga hingga lima bulan dari sekarang.

“Kami bercita-cita untuk mengadakan perjanjian damai dengan Israel, tetapi perdamaian pada hakikatnya dengan semua orang Israel, dan sangat penting bagi kami untuk tersedia bagi penduduk Arab Israel, yang kami anggap sebagai rakan penting untuk perdamaian yang hangat,” katanya.

Disamping itu, katanya lagi, Abu Dhabi juga sedang mempertimbangkan hasrat untuk membuka konsulat di Haifa atau Nazareth yang berfungsi di samping kedutaan.

Awal minggu ini, Kementerian Luar Israel memaklumkan, kedua-dua buah negara dan pegawai Emirati telah membincangkan pembukaan kedutaan dalam pertemuan di UAE yang turut melibatkan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh White House pada 13 Ogos, Israel dan UAE mengumumkan bahawa mereka ‘bersetuju untuk menormalisasi hubungan sepenuhnya.’

UAE mengumumkan beberapa hari kemudian bahawa ia membatalkan boikot ekonomi terhadap rejim Zionis, yang membolehkan perjanjian perdagangan dan kewangan antara kedua-dua pihak.

Pada 31 Ogos, penerbangan langsung pertama dari Tel Aviv ke Abu Dhabi membawa delegasi AS-Israel bersama ke ibu negara UAE bagi mengadakan perbincangan dengan pegawai Emirati untuk menyelesaikan perjanjian normalisasi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button