Berita Utama

UMNO kumpul maklum balas sebelum putus kerjasama politik

"Kita mahu menang semua kerusi yang bertanding"

MELAKA,8 Rabiulawal 1443H, Jumaat  – UMNO sedang mengumpulkan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk pimpinan dan akar umbi bagi mendapatkan maklumat serta pandangan, sebelum memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti atau bertanding bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dalam dua mesyuarat iaitu Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Biro Politik UMNO semalam, perkara itu masih dibincangkan selain maklum balas UMNO Melaka dan pusat dengan kertas kerja dan kajian tepat untuk memastikan kemenangan parti itu dalam PRN nanti.

“Kita tidak tahu bila PRN dan tidak boleh mendahului Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pada pandangan kita belum tahu bila ia (kerjasama) diputuskan, dan apabila SPR umum tarikh pilihan raya tentunya kita buat keputusan penting dengan siapa kita mahu bersama dan apa jua bentuk persefahaman politik.

“Masih tiada kepentingan untuk membuat keputusan segera. Kita mahu menang semua kerusi yang UMNO bertanding, tetapi di mana kita bertanding itu akan diputuskan pucuk pimpinan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) N23 Telok Mas, yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada 4 Okt dan berdasarkan Perkara 19 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

SPR akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Melaka seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya itu Isnin ini. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button