Berita Utama

Wajibkan semua Ahli Parlimen, ADUN isytihar semua aset

Pengisytiharan bolehkan pihak berkuasa kesan aset individu berjawatan dalam politik

BANGI, 8 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) digesa mengisytiharkan semua aset sama ada di dalam atau luar pesisir.

Saranan tersebut adalah bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan sebarang aset atau harta baharu dimiliki oleh Ahli Parlimen terutama mereka yang memegang jawatan tinggi dalam parti politik.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, kerajaan harus bertindak tanpa rasa takut dan pilih kasih untuk menyiasat nama-nama disebutkan dalam Kertas Pandora untuk mengetahui kemungkinan kesalahan dan rasuah yang berlaku.

“Salah satu cara untuk mengatasi aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram yang disimpan dalam akaun luar pesisir adalah dengan memperkenalkan pusat pendaftaran untuk pemilikan bermanfaat syarikat berdaftar di Malaysia dan syarikat yang menyimpan dana di Labuan.

“Pemilik syarikat ini adalah orang yang benar-benar memiliki, menikmati dan mengawal syarikat itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegas beliau, perkara itu memainkan peranan penting mengenai ketelusan pemilik sebenar sebuah syarikat.

Pendedahan Kertas Pandora yang dilakukan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) telah memetik beberapa figura penting negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir sepanjang 25 tahun lalu.

Antara individu dikaitkan menerusi pendedahan berikut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin bersama beberapa ahli keluarganya serta Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button