Berita UtamaDunia

6 maut, 30 cedera insiden tembakan di Beirut

Ketegangan tercetus ketika protes tuntut hakim siasat kes letupan pelabuhan disingkir

BEIRUT, 8 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Penduduk di ibu kota Lubnan berusaha melarikan diri dan memindahkan ahli keluarga mereka dari rumah susulan tercetusnya keganasan ketika tunjuk perasaan menuntut penyingkiran hakim yang menyiasat kes letupan pelabuhan besar tahun lalu.

Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh, termasuk seorang wanita berumur 24 tahun yang terkena peluru sesat ketika berada di dalam rumahnya.

Kira-kira 30 orang cedera selepas ratusan penunjuk perasaan berkumpul di Istana Kehakiman menuntut penyingkiran Hakim Tarek Bitar dan dilaporkan terlerai oleh tembakan penembak tepat diikuti tembakan dari sekumpulan lelaki yang berada di belakang tong sampah.

Bitar, yang menyiasat letupan mengorbankan lebih 200 orang di ibu negara pada Ogos tahun lalu, dilihat oleh beberapa saudara mangsa sebagai pihak bebas, namun beliau dituduh oleh pihak lain termasuk pihak Amal dan Hizbullah bersikap berat sebelah.

Tentera Lubnan mengerahkan kereta kebal di Tayouneh-Badaro – kawasan berhampiran istana – sementara ambulans membawa mereka yang cedera.

Kanak-kanak di sekolah berdekatan dilaporkan bersembunyi di bawah meja dan berkumpul di luar bilik darjah.

Penduduk tempatan memberitahu Middle East Eye bahawa mereka terdesak untuk mengeluarkan keluarga dari pertempuran itu, sehingga membahayakan diri dalam proses tersebut.

“Tidak ada yang dapat membawa keluar keluarga saya, tentera menasihati saya untuk tidak mempertaruhkan nyawa saya kerana peluru dan penembak tepat di bangunan itu, tetapi saya harus menyelamatkan mereka,” kata Bahij el-Dana.

Dia bergegas pulang dari tempat kerja untuk mencari isteri dan anak-anaknya yang bersembunyi di bilik mandi.

Katanya, dia dapat mengeluarkan mereka daripada kediamannya begitu juga dengan anak saudaranya yang tinggal di bangunan yang sama.

“Tetapi saya tidak dapat mengeluarkan ibu dan ayah saya,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button